In Anak Kasih Sayang Keluarga Kerja Masa Depan Masih Belum Tiba Waktunya Satu Hari Nanti Superstars Shaklee tsunami shaklee

Masih Belum Tiba Waktunya

“Anakku. 

Sesungguhnya, Mommy tahu satu hari nanti, Mommy akan dapat berjumpa denganmu. Mommy rindu sangat dengan kamu. Bertahun tahun Mommy tunggu, bila masa yang sesuai untuk Allah temukan Mommy denganmu. Macam macam Mommy dah lalui sepanjang hidup Mommy selama ni.


Pelbagai ragam manusia Mommy dah jumpa, bersuai kenal, bertegang lidah dan berkasih sayang. Setiap liku hidup yang Mommy lalui, sesibuk mana pun diri Mommy masa tu, akan ada sejaring waktu di mana Mommy akan teringatkan kamu.

Ada ketika, fikiran Mommy akan tersasar dari segala apa yang Mommy sedang lakukan dan saat tu Mommy akan terfikirkan di manakah kamu ketika itu dan bila lagi waktu yang betul betul sesuai untuk Mommy berjumpa denganmu. 

Bila usia mulai menjangkau, Mommy semakin kerap kali memikirkan dirimu, sayang. Di saat satu demi satu kawan kawan Mommy mula menghantar kad walimatulurus kepada Mommy, seringkali tu juga Mommy akan terkenangkanmu.

Apa adakah waktu yang kita akan bertemu? Akan adakah peluang untuk kita betul betul berhadapan dan bersua muka? Atau mungkin, walaupun cuma secuit peluang untuk Mommy mencium dahimu dan membisikkan salam di telingamu, wahai anakku? Bila agaknya kita akan bertemu?

Bila mungkin peluang itu akan sampai? Satu satunya peluang yang mampu membuatkan Mommy melepaskan semuanya, hanya untuk bersama denganmu. Adakah mungkin Mommy layak untuk menerima amanah yang suci sepertimu dalam hidup Mommy di dunia ni, sayang? Adakah mungkin? 


Semakin lama masa berlalu, semakin sayu hati Mommy mengenangkanmu. Memikirkan sampai kini, masih tiada peluang untuk kita bertegur sapa, bertukar senyuman dan bermanja bersama.

Semakin hari semakin sayu melihat anak anak kawan Mommy mula membesar dan bersekolah. Alangkah indahnya jika kamu ada bersama Mommy di saat ini, anakku. Mommy yakin jika kamu ada di sisi Mommy waktu ini, takkan ada yang akan menjadi penghalang untuk menjadikan Mommy seorang ibu yang terbaik untukmu, sayangku.

Tidak akan ada satu pun yang akan menghalang Mommy untuk membelai dirimu dan menyayangimu sepenuh hati Mommy, demi Allah… anakku.

Jika kamu di sini bersama Mommy ketika ini, akan Mommy tidak akan teragak untuk terus meninggalkan pekerjaan Mommy serta merta dan menggunakan separuh lagi masa hidup Mommy ini, inshaAllah, jika diizinkan-Nya; untuk membelai dan menyayangimu sepenuh hati Mommy.

Sungguh.  

Selama ini, sewaktu wanita yang seangkatan Mommy sibuk membina keluarga bahagia, Mommy sibuk dengan kerja. Bila mana mereka mula menyusun dulang hantaran, mengolah bunga telur dan didandan cantik oleh Mak Andam, bersedia untuk diijabkabulkan; tapi Mommy hilang jauh di Eropah mulai mengenal dunia.

Sewaktu mereka sibuk menyanyi riang di dapur menyediakan lauk pauk untuk juadah makan malam bersama suami dan anak anak tersayang, Mommy runsing di pejabat memikirkan isu kontrak dan bayaran tertangguh untuk projek projek syarikat.

Ketika mereka senang hati membacakan Hikayat Bawang Putih Bawang Merah di katil anak anak comel sebelum tidur, Mommy masih bersengkang mata menyelesaikan pelbagai hal ehwal pejabat dan kusut memikirkan semuanya.

Dan di saat mereka bergelak ketawa bersiap untuk ke taman tasik di hari minggu untuk aktiviti piknik mingguan, Mommy leka di pejabat ditemani laptop dan kalkulator, sibuk mengolah laporan bulanan tentang kos dan isu tapak untuk projek syarikat dalam dan luar negara.

Tapi, di setiap masa dan ketika, sesibuk mana pun Mommy waktu itu, akan ada secebis masa Mommy teringatkan kamu. Secubit saat, Mommy terkenangkan kamu. Sedetik waktu, Mommy rindukan kamu. 


Waktu dulu, hubungan Mommy dengan Pencipta kita hanya biasa biasa. Tapi, hubungan Mommy dengan manusia lainnya, hebat. Mommy alpa dengan kehidupan di dunia dan Mommy tersasar dan ada ketika Mommy lupa siapa Dia. Lupa atau buat buat lupa, entah Mommy pun kurang pasti.

Tapi yang Mommy yakin, Mommy dulu jauh dari-Nya. Setelah macam macam perkara, kini Mommy sedar. Walau sejauh mana pun kita pergi, walau sehebat mana pun diri ini, kita hanyalah hamba-Nya dan kita tak punya apa apa kecuali diri-Nya.

Mommy juga sedar, sebaik mana pun pekerjaan kita, atau setinggi mana pun pendidikan kita, kebahagiaan sebenar ialah kegembiraan di hati dan bukannya sekeping kertas atau wang ringgit. Langsung tidak.

Kegembiraan yang mutlak ialah bila mana kita mampu membina nak mengurus sebuah keluarga kecil. Ini bukan fakta atau formula kehidupan. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan fahaman Mommy.

Tapi setelah bermacam pengalaman dilalui bertahun selama ini, bermacam ragam dan pelbagai negara Mommy lewati, Mommy pasti… itu memang acapkali merupakan satu satunya benda yang Mommy mahukan, lebih dari apa pun.

Sungguh.

Tapi, Mommy masih tidak diberi peluang untuk bertemu denganmu, sayang. Mommy seringkali berfikir, mungkin ini ujian Tuhan kepada Mommy; balasan untuk kehidupan Mommy yang lalu? Atau mungkin belum tiba masanya untuk Mommy bersua muka denganmu, anakku?

Atau mungkin juga kerana Dia tahu yang Mommy sebenarnya belum bersedia untuk berjumpa kamu dan sedang menyediakan Mommy untuk jadi yang terbaik untukmu?

Atau mungkin juga kerana Dia mahu berikan peluang untuk Mommy meluangkan masa bersama Mama dan Papa Mommy memandangkan baru kini Mommy dekat dengan mereka, setelah bertahun berjauhan selama ini?

Peluang untuk Mommy menebus kesalahan sebagai seorang anak dan cuba menjadi anak yang solehah buat mereka? Mommy kurang pasti tapi Mommy betul betul doakan supaya satu hari nanti, Mommy berpeluang untuk berjumpa denganmu, walaupun hanya untuk beberapa ketika.


Mommy betul betul inginkan doa Mommy dimakbulkan untuk diberikan secebis peluang untuk sekurang kurangnya, memegangmu dalam dakapan Mommy dan mengucup dahimu tanda kasih sayang Mommy pada kamu walaupun hanya untuk beberapa saat, inshaAllah.

Jika diberi peluang untuk bersua muka dan bersama, Mommy sudah pun berjanji, dengan izin-Nya; Mommy akan menjaga, mendidik dan menyayangimu dengan sepenuh hati, sebagaimana Mommy merindukanmu saat ini, walaupun kita tidak pernah bersua walau sedetik pun. Hingga kini, masih belum tiba waktunya.

Dia tahu, Dia yang Maha Mengetahui. Tapi, Mommy takkan pernah berhenti berdoa, sayang...  agar akan ada satu waktu, satu hari nanti, bila kita akan bertemu.  

InshaAllah, jika diizinkan-Nya; satu hari nanti… kita pasti bertemu, anakku. 

InshaAllah, sayang.


Salam sayang dari Mommy”

Related Articles

2 comments:

sya berkata...

Suatu hari nanti dia pasti akan menjelma mommy. U just wait and see. InsyaAllah.

Unknown berkata...

Terima kasih awak sebab singgah baca cerita panjang saya ni. :) Dan ya, inshaAllah, satu hari ni. Amiinnnn. Semoga doa awak ni makbul dan jangan lupa selitkan saya dalam doa doa awak ya? Terima kasih!